Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,
Semoga semakin ceria dalam menghadapi perjalanan hidup ini. Jika anda sedang dalam kesedihan, marah atau berdukacita segeralah mengadu pada Maha Pendengar yang satu. InsyaAllah, anda akan beroleh ketenangan.
Seawal jam 8.30 pagi tadi saya telah menghadiri kursus penulisan siri II yang dianjurkan oleh PMI UPM dan juga pihak PTS. Sangat menarik dan pendedahan baru kepada insan-insan yang berminat untuk menyumbangkan karya dalam industri penerbitan ini. Memberikan gambaran yang lebih santai untuk penulis muda. Mungkin saya juga bakal mengisi kekosongan itu, insyaAllah. Semoga dapat melahirkan karya yang dapat memberikan satu inspirasi baru dan perubahan kepada generasi akan datang.
Program tamat dalam jam 1.30 tengahari. Saya bergegas untuk berjumpa seorang sahabat baik saya ketika di UTM dahulu, Pn Fadzilah Mamat yang turun dari Johor untuk berkongsi ilmu pengetahuan dengan agen-agennya sekitar kawasan ini. Sudah lama saya tidak berjumpa dengannya walaupun sering berhubungan melalui telefon. Banyak perkara yang dibincangkan dan saya amat gembira dapat bertemu dengannya.
Sebenarnya pada post kali ini saya ingin berkongsi satu kisah yang bagi saya agak menarik untuk dikongsikan bersama. Dalam menjalani kehidupan seharian apakah perkara yang paling penting dalam hidup anda? Anda boleh menjawab dahulu soalan saya terlebih dahulu sebelum menyambung pembacaan dengan kisah yang bakal saya kongsikan di sini.
————————————————————-PAUSE—————————————————————————————–
Di dalam sebuah kelas falsafah, seorang profesor berdiri di hadapan dewan kuliah, meja di hadapannya terdapat beberapa barangan lalu diangkat satu gelas kosong.

Tanpa sepatah perkataan, kelas bermula dengan beliau mengambil gelas kosong tadi dan mengisinya dengan bola golf.

Dia kemudian bertanya kepada para pelajarnya, adakah gelas tersebut penuh,dan pelajarnya menjawab “ya!”.
Profesor kemudian mengambil sekotak batu kerikil halus dan menuangkannya ke dalam gelas yang telah dipenuhi bola golf tadi, lantas menggoncang gelas tersebut dengan lembut. Bebatu kerikil mengisi ruangan kosong di antara bola-bola golf.

Sekali lagi dia bertanya akan pelajarnya sama ada gelas tersebut telah penuh, pelajarnya lantas menjawab “ya…”
Tanpa menjelaskan apa-apa kepada pelajarnya, profesor tersebut lantas mengambil pula sebuah kotak yang berisi pasir dan menuangkannya ke dalam gelas tersebut. Pasir yang dituang mengisi ruangan di antara batu kelikir dan bola golf.

Seperti tadi dia bertanya lagi kepada para pelajarnya sama ada gelas tersebut telah penuh. Dalam keadaan yang penuh persoalan, rata-rata pelajarnya menjawab “Ya..”
Sejurus selepas itu, profesor itu kemudiannya mengeluarkan dua cawan kopi dari bawah mejanya dan menuangkan kedua-duanya ke dalam gelas yang telah sedia ada diisi batu golf, batu kerikil dan pasir tersebut. Air kopi mengisi ruangan yang terdapat di antara pasir. Para pelajar mula ketawa dan tersenyum meihat tindakan profesor tersebut.
“Sekarang…” profesor mula bersuara apabila riuh rendah dan gelak ketawa pelajarnya berkurangan.
“Saya mahu anda semua menganggap gelas ini sebagai kehidupan anda. Bola-bola golf mewakili perkara penting – Tuhan, keluarga anda, anak-anak, kesihatan anda, kawan-kawan dan semangat anda.
Jika anda kehilangan segalanya dan hanya perkara penting ini yang masih anda ada, hidup anda masih penuh.
Batu kerikil halus ini pula mewakili perkara-perkara lain seperti kerja anda, rumah atau kereta anda, manakala pasir pula mewakili perkara-perkara lain, yakni perkara-perkara kecil.”
“Jika anda memasukkan pasir ke dalam gelas dahulu…” “… anda tidak akan mempunyai ruang untuk batu kerikil dan bola golf. Ini sama juga seperti kehidupan anda. Jika anda menghabiskan masa dan tenaga untuk perkara-perkara kecil, anda tidak akan mempunyai ruang untuk perkara yang sebenarnya lebih penting untuk diri anda.”
“Ambil perhatian untuk perkara yang kritikal untuk kebahagiaan anda. Luangkan masa gembira untuk anak-anak. Sentiasa melakukan pemeriksaan kesihatan, bawa pasangan anda untuk makan malam, yang pasti, anda akan masih ada masa untuk membersihkan rumah atau urusan lain. Sila ambil berat akan bola golf dahulu – iaitu perkara yang benar-benar penting. Tetapkan keutamaan. Perkara lain cumalah pasir…”
Salah seorang pelajarnya mengangkat tangan dan bertanya apakah pula yang diwakili oleh air kopi. Profesor tersebut tersenyum.
“Saya gembira ada yang bertanya. Ianya menunjukkan bahawa tidak kira bagaimana penuh pun kehidupan anda, akan sentiasa ada ruang untuk secawan dua kopi bersama rakan-rakan…”
Dipetik dari Lepakk Groups
—————————————————————————-***———————————————————————————–
Peringatan buat kita semua agar pentingkan apa yang lebih penting. Jangan menyesal dikemudian hari kerana terlampau mengabaikan bola-bola golf itu dengan lebih mementingkan pasir-pasir halus. Hidup ini bukanlah terlalu lama untuk kita bazirkan dengan perkara-perkara yang tidak berapa penting.
Jadi, manakah lebih penting dalam hidup anda?
Tepuk dada, tanya iman.
p/s : saya sudah terlampau penat pada hari ini namun terdapat beberapa perkara yang perlu saya selesaikan sebelum melelapkan mata. Maaf kepada sesiapa yang menghantar soalan berkenaan gaharu kerana lambat membalasnya. InsyaAllah, saya akan menjawab semua persoalan tersebut paling lewat pada esok hari.
Ikhlas,
Aminah Saad